Promosi Mahrajan Thaqafi ke-4

Mahrajan Thaqafi ke-4

Assalamualaikum WBT.

Semua insyaAllah dijemput bagi menghadiri dan memeriahkan Mahrajan Thaqafi yang diadakan oleh Sekolah IBN KHALDUN tiga tahun sekali ini!

Mahrajan Thaqafi merupakan Perayaan Ilmu/Ekspo Pendidikan/Pesta Kebudayaan yang dianjurkan oleh Sekolah Ibn Khaldun (menengah dan rendah) sekerap tiga tahun sekali bermula pada tahun 2000.

Mahrajan Thaqafi ke-4 akan diadakan pada 24-26 April 2009 (Jumaat - Ahad). Pelbagai aktiviti menarik akan diadakan, antaranya ialah pertandingan pidato dan nasyid antara sekolah, Forum Bicara Ad-Din (IKIM.fm), persembahan pelajar, jualan amal, pameran, derma darah, dan banyak lagi!

Jualan amal dan pameran bermula pada hari Jumaat hingga hari Ahad. Pada hari Sabtu akan diadakan pertandingan nasyid dan pidato antara sekolah dan pada pukul 9 malam diadakan Forum Bicara Ad-Din oleh IKIM.fm. Pada hari Ahad akan diadakan bermacam-macam aktiviti yang akan diakhiri dengan aktiviti malam kemuncak yang bermula pada 9 malam.

Kupon jualan boleh didapati daripada pihak sekolah (03-51623973). Datanglah beramai-ramai sambil menyumbang untuk ISLAM!


Khamis, 4 Jun 2009

Sumbangan Karya untuk AT-TAQWA


Assalamualaikum WBT.


Kepada SEMUA PELAJAR SEK. MEN. IBN KHALDUN:


Sidang Editor Majalah AT-TAQWA akan memulakan kerja-kerja menerbitkan majalah rasmi sekolah selepas tamat cuti persekolahan nanti. Untuk itu, kami memerlukan sumbangan karya-karya yang hebat daripada antum semua.


Bentuk karya adalah bebas; sama ada cerpen, puisi, komik, artikel dan sebagainya. Karya yang dihantar mestilah memiliki nilai Islami dan mematuhi syarak. Karya boleh dihasilkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris atau Arab. Karya BI dan BA adalah amat digalakkan.


Tarikh penghantaran selewat-lewatnya pertengahan bulan Julai. Tarikh khusus akan diumumkan apabila sekolah dibuka nanti. Tarikh mungkin diawalkan atau dilewatkan - berserta pengumuman.


Kami mengharapkan kerjasama yang hebat daripada antum semua untuk menjayakan projek tritahunan ini dan menjadikan kesempatan ini sebagai peluang untuk menyampaikan Islam melalui penulisan dan seni. Sebarang pertanyaan boleh diajukan di ruang komen pos ini atau di chatbox di bahagian kiri blog Fikruttaqwa Online. Pandangan dan cadangan mengenai majalah juga amat dialu-alukan.


Moga ALLAH meredai dan membalas usaha antum semua.


*Tolong sebarkan kepada semua warga Ibn Khaldun.


...
Baca selanjutnya...

Berhenti Sejenak

oleh: Sidang Editor Fikruttaqwa

Assalamualaikum WBT.


Bulan Jun memulakan tirainya semasa para pelajar sedang berada dalam cuti pertengahan tahun, atau cuti akhir semester pertama. Bercuti memang seronok bagi setiap pelajar. Siapakah yang tidak gembira apabila cuti persekolahan tiba? Namun, dalam keseronokan kita bercuti, kita harus sedar hakikat cuti itu sebenarnya.


Sahabat sekalian, cuti yang sedang kita nikmati ini ialah cuti persekolahan. Menurut Kamus Dewan, cuti ialah hari kelepasan. Maka, cuti persekolahan bermaksud hari kelepasan daripada persekolahan. Ya, kita tidak bersekolah pada cuti persekolahan, dan itulah hakikatnya. Hakikat cuti persekolahan sebenarnya ialah kita berhenti sejenak daripada pergi ke sekolah. Itu sahaja dan tidak lebih daripada itu.


Ini bermaksud, segala aktiviti kita yang lain harus berlangsung seperti biasa, atau lebih baik lagi disebabkan banyaknya waktu yang kita ada. Segala kewajiban kita seperti beribadah, berdakwah dan belajar harus dilaksanakan seperti biasa atau lebih baik. Cuti persekolahan bukan cuti daripada beribadah, bukan cuti daripada berdakwah dan bukan cuti daripada belajar. Kehidupan berjalan seperti biasa, cuma tidak perlu ke sekolah.


Cuti merupakan nikmat daripada Allah SWT; nikmat yang sering kali manusia lalai daripada mengingatinya iaitu nikmat masa lapang. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita supaya kita merebut masa lapang kita sebelum datang masa sempit. Pada waktu cutilah kita boleh melaksanakan aktiviti-aktiviti yang kita suka tanpa terikat dengan jadual sekolah yang sibuk. Namun, haruslah diingat bahawa hukum-hukum ALLAH tetap berjalan, tidak kira cuti atau tidak. Jadikanlah peluang yang diberikan oleh Allah ini sebagai ruang untuk kita membuat aktiviti-aktiviti berfaedah, meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dan menyampaikan ISLAM kepada masyarakat.


Sebagaimana cuti merupakan peluang dan nikmat, cuti juga datang sebagai tanggungjawab. Waktu lapang merupakan amanah daripada ALLAH untuk kita gunakan dengan sebaiknya dengan mematuhi segala perintah-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Ingatlah, untuk tujuan apa sekalipun cuti ini kita gunakan, kita akan dipersoalkan oleh ALLAH di akhirat kelak.


Pesanan daripada kami, jangan lupa belajar pada waktu cuti ini. Anggapkan diri kita pada semester pertama sebagai seekor beluncas. Semasa semester pertama, kita lahap memakan daunan ilmu di sekolah. Sekarang, waktu cuti, ibarat kepompong. Semasa fasa kepompong ini, kita cerna dan hadam makanan itu dan membentuk diri kita dengan makanan tersebut. Kita keluar daripada kepompong sebagai seekor rama-rama yang cantik yang bersedia untuk menghisap madu yang lebih manis daripada daun.


Marilah kita jadikan waktu cuti ini sebagai mihrab kita berubudiyyah kepada ALLAH SWT!


Peringatan daripada ALLAH SWT:



Dan tidak AKU jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-KU. (Az-Zariyat, 56)



Moga pos Lisan Fikruttaqwa bulan Jun yang ringkas ini memberi manfaat kepada kita semua; kami memohon ampun daripada ALLAH Pentadbir Sekalian Alam atas segala khilaf dalam penulisan ini.


Wallahua'lam.

...
Baca selanjutnya...

Ahad, 31 Mei 2009

Hari Terakhir Persekolahan: Guru Diraikan


Deklamasi sajak.

SMIK (FaTa)—Sambutan Hari Guru Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK) diadakan dengan meriah pada hari Jumaat, 29 Mei 2009.


Sambutan tersebut diadakan selepas solat Jumaat dan diuruskan hampir sepenuhnya oleh para pelajar menengah rendah terutamanya Tingkatan Tiga kerana pelajar-pelajar Tingkatan Empat dan Lima perlu mengikuti program Daurah Fikrah Islamiah (DFI) bermula hari Khamis hingga tengah hari Jumaat.


Program tersebut dibuka pada pukul 3 petang dengan bacaan al-Quran oleh Saudara Kamalul Azmi dan bacaan doa oleh Saudara Abdullah Abrar. Seterusnya ialah ucapan daripada wakil guru, Cikgu Ismail bin Ishak, kemudian ucapan daripada wakil pelajar, Ahmad Ashraf Ilman.


Hadirin dihiburkan dengan deklamasi sajak oleh Saudara Sufian dan Muzzammil yang bertajuk "Guru" dan deklamasi sajak oleh Anas Asyraaf yang bertajuk "Kasih Seorang Guru" nukilan pelangi93. Seterusnya hadirin disenangkan dengan persembahan nasyid yang hebat daripada pelajar-pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga yang membawa lagu "Cebisan Kenangan".


Para guru dan pelajar dijemput makan juadah enak yang dihidangkan. Ketika hadirin sedang makan, empat orang pelajar Tingkatan Dua mendeklamasikan sebuah seloka yang menggelikan hati untuk menceriakan suasana.


Guru-guru kita harus diraikan setiap hari dan sambutan seperti ini hanyalah sebagai sebuah wasilah untuk kita duduk sebentar memperbaharui penghargaan kita kepada insan-insan yang melakukan jasa yang amat besar kepada kita iaitu: membawa kita mengenal Sang PENCIPTA. Moga ALLAH merahmati, melindungi dan memberi kebaikan kepada semua guru-guru yang ikhlas mendidik generasi kini untuk menjadi generasi yang lebih baik daripada sebelum ini dan mendapat keredaan-NYA, amin.

...
Baca selanjutnya...

Sabtu, 30 Mei 2009

Sekolah "Kosong" 27 Mei


Ahli PBA bergambar kenangan di MEDIU

SMIK (FaTa)—Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK) 'kosong' pada hari Rabu, 27 Mei apabila semua pelajar mengikuti aktiviti lawatan yang dirancang oleh persatuan akademik masing-masing.


Pihak sekolah telah menetapkan bahawa hari selepas hari terakhir Peperiksaan Pertengahan Tahun tersebut merupakan hari lawatan bagi semua persatuan yang ada di SMIK, iaitu Persatuan Bahasa Melayu (PBM), Persatuan Bahasa Inggeris (PBI) dan Persatuan Bahasa Arab (PBA). Kesemua persatuan telah diberitahu awal dan perancangan telah pun siap sebelum musim peperiksaan lagi.


Para pelajar dikehendaki berkumpul di dataran sekolah pada pukul 8 pagi hari berkenaan untuk sesi taklimat dan pendaftaran. Dengan enam buah bas, tiga bagi putera dan tiga bagi puteri, pelajar-pelajar bertolak ke destinasi yang telah dirancang lebih kurang pada pukul 9 pagi. Guru-guru pengiring termasuklah guru-guru penasihat persatuan dan beberapa orang guru lain.


Persatuan Bahasa Melayu melawat ke Petrosains, KLCC dan kilang coklat Beryl's, Kuala Lumpur. Persatuan Bahasa Inggeris pula ke Planetarium Negara dan Darul Quran di ibu negara. Ahli-ahli Persatuan Bahasa Arab berpeluang ke Al-Madinah International University (MEDIU), Shah Alam, berehlah di Sungai Kancing dan melawat sebuah nurseri orkid di Rawang.


Semua persatuan tiba semula di sekolah lebih kurang pada pukul enam petang. Riak wajah yang keletihan tetapi gembira jelas terpamer pada wajah-wajah yang menyertai program lawatan tersebut.


Lawatan serentak sebegini memberi peluang sama rata kepada pelajar dalam proses P&P dengan mengelakkan para pelajar ketinggalan pelajaran. Konsep ini juga membolehkan persatuan tidak mengambil waktu cuti pelajar untuk membuat lawatan di samping mengurangkan bebanan para guru pada hari tersebut.


Lawatan ini memberikan peluang kepada para pelajar untuk merasai suasana pembelajaran selain daripada di dalam kelas sahaja. Selain itu, lawatan merupakan peluang yang baik untuk mempamerkan syiar Islam kepada masyarakat di samping membolehkan pelajar meleraikan simpulan saraf di minda setelah menduduki peperiksaan selama dua minggu.

...
Baca selanjutnya...

Ahad, 17 Mei 2009

Adakah Peperiksaan itu Perlu?

oleh: Sidang Editor Fikruttaqwa


Assalamualaikum WBT.


Gambar diambil dari sini

Masa sungguh cepat berlalu dan kini kita telah pun memasuki bulan Mei. Mahrajan Thaqafi ke-4, alhamdulillah, telah dilaksanakan dengan jayanya pada 24-26 April yang lalu. Sekarang, para pelajar SMIK perlu berjihad dan berjuang menghadapi Peperiksaan Pertengahan Tahun yang dijalankan bermula 13 Mei (12 Mei bagi pelajar Ting. 4 dan 5) sehingga 26 Mei 2009. Pernah juga didengari oleh pihak Fikruttaqwa segelintir pelajar mengatakan bahawa "peperiksaan ni dunia aja, tak penting pun." Sekarang timbul beberapa persoalan: Adakah peperiksaan yang kita duduki sekarang ini benar-benar "dunia" sahaja seperti yang dikatakan? Dan adakah peperiksaan ini penting dan perlu? Apakah pandangan Islam?


Hidup manusia ini tidak pernah terlepas daripada ujian. Bagi mereka yang beriman, Allah SWT akan sentiasa menguji mereka sebagai tanda kasih-Nya, menambah keimanan mereka dan melihat siapa dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya.


Firman Allah SWT dalam Surah al-Mulk ayat 2:



Dialah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya...



Firman Allah juga dalam Surah al-Baqarah ayat 214:



Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? ...



Dalam Surah al-Ankabut ayat 2 Allah berfirman:



Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?



Terdapat banyak lagi ayat al-Quran dan hadis nabawi yang menunjukkan bahawa hidup kita ini penuh dengan ujian dan dugaan. Ketahuilah bahawa manusia tidak akan maju jika tidak ditimpa ujian. Kita lihat contoh karbon: satu elemen penting yang membentuk tanah yang kotor pada masa yang sama merupakan kandungan asas berlian yang bergemerlapan. Karbon yang berada di dalam bumi mengalami tekanan yang kuat dan suhu yang amat dahsyat barulah ia boleh menjadi berlian yang sungguh bernilai. Manakala karbon yang berada di atas bumi tanpa mengalami apa-apa kekal menjadi tanah yang dipijak-pijak. Begitulah juga manusia. Manusia perlu diasah dengan ujian dan digilap dengan dugaan untuk menjadi individu yang benar-benar hebat dan berkualiti.


Peperiksaan merupakan ujian bagi kita sebagai pelajar. Peperiksaan merupakan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita melihat kembali kekurangan-kekurangan kita dalam pembelajaran. Peperiksaan merupakan kesempatan untuk kita memperbaik diri kita untuk Islam. Peperiksaan merupakan satu wasilah untuk kita berdakwah melalui keputusan yang cemerlang. Peperiksaan melatih kita berusaha yang terbaik untuk kepentingan Islam. Dan... peperiksaan merupakan salah satu daripada jalan kita merapatkan hubungan kita dengan Allah SWT. Maka bagaimanakah pula peperiksaan boleh dikatakan "dunia" sahaja?


Namun peperiksaan boleh jadi dunia sahaja - jika tidak disertakan niat kerana ALLAH. Kita selalu mendengar hadis Rasulullah SAW, setiap amalan itu menurut niatnya. Jika kita mengambil peperiksaan kerana Allah dan rasul-Nya - mensasarkan keputusan cemerlang demi kepentingan Islam, insyaAllah keredhaan Allah-lah yang akan kita dapat. Jika kita mengambil peperiksaan untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang supaya dapat hidup dalam kemewahan pada masa hadapan, maka kekayaan dan kemewahanlah yang akan kita peroleh. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbetul dan memperbaharui niat kita menduduki Peperiksaan Pertengahan Tahun ini.


Dalam pada itu, walaupun sekiranya kita berniat menduduki peperiksaan kerana Allah dan rasul-Nya, amalan kita ini tidak akan diterima jika tidak mengikut cara yang ditetapkan oleh syarak. Janganlah pula kita tekun mengulangkaji - kononnya demi kepentingan Islam - hingga kita mengabaikan tanggungjawab fardu kita seperti meninggalkan solat dan sebagainya. Janganlah pula kita bersembang dengan yang bukan mahram kononnya bertanya tentang peperiksaan - komunikasi antara lelaki dan perempuan yang bukan ajnabi tidaklah salah jika untuk tujuan pembelajaran, tetapi peraturan yang telah digariskan dengan syarak harus diikuti dengan tegas seperti menjaga cara berpakaian, memelihara lenggok kata dan gaya bahasa, menjaga pandangan, dan berkomunikasi untuk pembelajaran dan pembelajaran sahaja, tiada hal lain. Memandangkan amat mudah bagi nafsu dan syaitan untuk mempengaruhi kita melanggar batas-batas ini, seboleh-bolehnya hendaklah kita elakkan komunikasi antara yang bukan mahram dan carilah jalan lain yang lebih selamat dan tidak meragukan.


********************


Apabila dipesan oleh para guru dan Umana' supaya menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan ulang kaji memandangkan peperiksaan sudah hampir, terdengar omelan yang mengatakan "Belajar kerana Allah, bukan kerana peperiksaan."


Memang benar, kita harus belajar kerana Allah dan kerana-Nya semata-mata. Oleh itu, kita perlu belajar sepanjang masa kita bergelar pelajar. Namun, perlu diingat bahawa dalam Islam kita mempunyai konsep tawazun atau keseimbangan. Kita juga mempunyai konsep aulawiyat atau keutamaan. Ketika Minggu Sukan, kita bersukan dan kita belajar, tetapi kita harus fokus kepada sukan. Ketika Mahrajan Thaqafi kita membuat persiapan dan kita belajar, tetapi kita harus fokus kepada persiapan untuk mempersembahkan yang terbaik kepada masyarakat. Sekarang kita menduduki peperiksaan maka kita harus fokus kepada peperiksaan. Kita perlu menyeimbangkan aktiviti-aktiviti kita. Tidak pantas kita aktif dalam sukan dan banyak terlibat dalam Mahrajan Thaqafi tetapi tidak berusaha yang terbaik untuk menduduki peperiksaan. Buat masa sekarang, fokus kita ialah peperiksaan. Kita masih belajar kerana Allah, cuma fokus kita kepada pembelajaran harus dilebihkan buat masa sekarang semasa peperiksaan sedang berlangsung. Perlu juga sentiasa diingat dalam hati bahawa kita ialah PELAJAR, tugas kita BELAJAR. Belajar kerana Allah untuk Islam. Seperti kata seorang ustazah di SMIK, berdakwah melalui keputusan peperiksaan.


Akhir kalam, kita perlu ingat bahawa menduduki peperiksaan kerana Allah ialah IBADAH. Peperiksaan merupakan ujian dan peluang yang dikurniakan oleh Allah untuk menambahkan keimanan kita dan memperbaik kelemahan kita. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan kali ini, dan yang lebih penting lagi, marilah kita bertaqwa kepada Allah dan beramal untuk Islam dengan penuh iltizam supaya kita gembira menerima "kad laporan amal" pada Hari Prestasi ALLAH di Padang Mahsyar kelak!


*Marilah kita mendoakan kejayaan kita, sahabat-sahabat kita, dan semua pelajar Islam yang lain yang berjuang menegakkan kalimah Allah dan menyempurnakan salah satu daripada kewajiban kita sebagai pelajar Muslim.


Wallahua'lam.

...
Baca selanjutnya...

Khamis, 30 April 2009

Islam Sistem Hidup Yang Lengkap

oleh: Ahmad Ilman


Deen Islam yang diturunkan oleh Allah SWT merupakan Deen yang syumul (lengkap) yang merangkumi setiap aspek kehidupan manusia seperti mana yang diterangkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya dalam Surah al-An'am ayat 38:


"… tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini…"


Islam merangkumi dari aspek rohani hingga aspek politik; dari aspek ekonomi hingga aspek sosial. Imam Hasan al-Banna pernah menulis dalam kitabnya: "Islam merupakan sistem hidup yang lengkap, mencakupi seluruh bidang kehidupan, dan Islam itu ialah: (1) Negara dan tanah air atau kerajaan dan umat. (2) Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. (3) Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. (4) Material dan kekayaan atau hasil usaha dan kecukupan. (5) Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah (pemikiran). (6) Sepertimana Islam merupakan akidah yang benar dan ibadah yang sahih, sama sahaja tanpa ada perbezaan."



Ramai yang telah maklum bahawa Islam datang membawa akidah yang suci - mengajak manusia beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari akhirat, serta qada' dan qadar. Keimanan itu dizahirkan pula dengan ibadah khusus seperti solat, zakat, puasa dan haji di samping ibadah umum seperti belajar, membuang benda bahaya di jalanan, senyum kepada rakan dan sebagainya - menurut cara dan syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Sabda Rasulullah SAW:


من أحدث في أمرنا ما ليس منه فهو رد


"Barangsiapa membuat-buat dalam urusan agama kami ini amalan yang bukan sebahagian daripada agama ini, maka ia tertolak."


Ramai juga tahu bahawa Islam datang untuk menyempurnakan akhlak manusia dengan memperkenalkan akhlak mahmudah seperti malu, bersopan santun, menghormati orang tua, amanah, bercakap benar, menepati janji, tolong-menolong dan sebagainya. Dalam sebuah hadis yang terkenal, Nabi Muhammad SAW bersabda:


إنما بعثت لأتمم مكارم الأخلاق


"Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak."



Apa yang sering diabaikan orang ialah hakikat bahawa Islam ialah agama jihad dan dakwah yang memerlukan pengorbanan di jalan Allah. Islam juga mengambil berat dan menekankan aspek pengetahuan dan kebudayaan. Islam juga menyeru umatnya supaya mencari kekayaan dan mengumpul kekuatan. Islam juga menuntut umatnya melaksanakan hukum-hukum Allah dengan cara yang ditunjukkan oleh Rasullah SAW: iaitu menubuhkan negara Islam yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah.



Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Maidah ayat 44:


"… dan sesiapa Yang tidak menghukum Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir."


Sistem hidup Islam merupakan sistem hidup yang sah diguna pakai semenjak mula diwahyukan hingga hari kiamat. Islam merupakan cara hidup yang rabbaniyah yakni bersumberkan Allah Ta'ala, 'alamiyah (universal), murunah (fleksibel), dan waqi'iyah (mengikut keadaan semasa), pada masa yang sama mempunyai ciri thabat (asas yang tidak boleh diubah i.e. akidah, hukum had, dsb). Pihak Fikruttaqwa menyeru kepada semua afar menerima dan beramal dengan Islam sepenuhnya baik akidah Islam, ibadah Islam, politik Islam, ekonomi Islam, hiburan Islam, kebudayaan Islam, ilmu Islam, pemikiran Islam, dan semua aspek Islam keseluruhannya.


Ini merupakan gesaan Allah Ta'ala dalam Surah al-Baqarah ayat 208:


"Wahai orang-orang Yang beriman! masuklah kamu ke Dalam ugama Islam (dengan mematuhi) Segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu Yang terang nyata."


Ingatlah bahawa Islam ialah manhaj hidup yang lengkap, sempurna dan terbaik; kerana datangnya ia adalah daripada Allah, Tuhan kami dan Tuhan kamu, Pentadbir dan Penguasa Sekalian Alam yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Maka berbanggalah dengan ke-Islaman kalian!

...
Baca selanjutnya...

KRS Wasilah Pamerkan Syiar Islam

KLANG (FaTa)—Pertandingan Kawad Kaki Kadet Remaja Sekolah (KRS) Peringkat Daerah bagi tahun 2009 telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Jawa pada 26 Mac yang lalu.


KRS Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK) yang dinasihati oleh Ustaz Ali Noor Atif bin Anuar turut menghantar Skuad Formasi 30 KRS dengan bilangan ahli tidak kurang daripada 33 orang dengan Kamalul Azmi bin Ahmad sebagai ketua platun. Termasuk tahun ini, SMIK telah menghantar pasukan kawad kaki formasi ke pertandingan sebanyak enam kali.



Pemilihan untuk menyertai Skuad Formasi 30 KRS bermula pada bulan Januari dan lalu. Latihan berlangsung hampir setiap petang pada bulan Februari hingga bulan Mac beserta latihan intensif pada sepanjang cuti pertengahan penggal pertama yang lalu. Latihan tersebut menekankan aspek kekuatan jiwa dan kerjasama di samping kekuatan fizikal.


Keputusan pertandingan diumumkan pada majlis penutup pertandingan tersebut. Johan pada tahun ini merupakan juara bertahan lima tahun berturut-turut iaitu SMK Tengku Idris Shah. Manakala SMIK mencatat tempat kesembilan; jatuh dua tempat berbanding skuad tahun lepas yang mencatat tempat ketujuh.


Mengenai keputusan ini, ketua platun Kamalul Azmi bin Ahmad daripada Tingkatan Empat Itqan berkata, "Pertandingan kawad kaki pada tahun ini kurang memuaskan bagi ana kerana kami belum memberikan komitmen yang sepenuhnya. Ana berazam untuk lebih intensif dalam melatih skuad formasi sehingga mantap."



Dalam pada itu, Pengerusi KRS SMIK, Abdullah Azam bin Jaafar daripada Tingkatan 5 Ijtihad pula berpuas hati dengan pencapaian: "Pada ana, pencapaian Skuad Formasi 30 pada tahun ini ialah yang terbaik; kerana jika dilihat dari segi usaha kami dan beberapa halangan, pencapaian ini ialah yang terbaik. Kami diuji dari segi kekurangan ahli, kekurangan masa dan kekurangan peralatan. Tambahan pula, pertandingan tahun ini diadakan lebih awal daripada tahun-tahun lepas. Kami juga terpaksa merekrut dan melatih ahli-ahli baru walaupun kesuntukan masa. Dengan segala cabaran ini dan pencapaian yang kami dapat, bagi ana, skuad ini merupakan skuad paling cemerlang."


Guru Penasihat KRS SMIK, Ustaz Ali Noor Atif turut berpuas hati dengan pencapaian skuad pada tahun ini. Menurutnya, pencapaian kali ini ialah yang terbaik berdasarkan tahap ahli-ahli skuad yang ramai dalam kalangan mereka merupakan wajah baru dalam skuad. Beliau bercadang untuk mengadakan latihan selepas Mahrajan Thaqafi sebagai persediaan untuk pertandingan tahun hadapan dan meletakkan "top 3" sebagai sasaran. Latihan selepas ini akan lebih berfokus kepada pembinaan kekuatan jiwa dengan memperbanyak solat tahajjud dan qiamullail.


Syabas diucapkan kepada Skuad Formasi 30 KRS SMIK kerana berjaya melepasi halangan ini. Walaupun turun dua anak tangga, ahli skuad berjaya mengatasi kelemahan dan kekurangan yang ditentukan Allah di samping berjaya membawa syiar Islam dalam formasinya serta mempamerkan sahsiah Islamiah dalam muamalah sebagai usaha dakwah kepada masyarakat, insyaAllah.

...
Baca selanjutnya...

Selasa, 14 April 2009

Penutupan Bulan Membaca dan Bulan Bahasa Melayu

Oleh: Ahmad Ilman


SMIK, 13 April (FaTa) - Setelah sebulan lebih berjalan, Bulan Membaca dan Bulan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Ibn Khaldun menutup tirainya pada hari ini, Isnin 13 April 2009 apabila majlis penutupan dijalankan pada waktu perhimpunan pagi tadi.


Program anjuran Persatuan Bahasa Melayu bersama-sama Pusat Sumber SMIK itu membawa tema "Ilmu Merintis Kecemerlangan Minda." Pelbagai aktiviti yang menarik dijalankan sepanjang bulan ini, antaranya ialah pertandingan syarahan, deklamasi sajak berduet, dikir barat, lakonan, Jejak Kamus, teka silang kata, peraduan peribahasa, pertandingan menulis cerpen, pertandingan melukis poster dan pertandingan membuat banner. Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan mendapat sambutan hangat daripada para pelajar.


Majlis penutupan bermula pada pukul 8.20 pagi dengan ucapan pengerusi, diikuti bacaan al-Quran dan doa. Guru Penasihat Persatuan Bahasa Melayu, Cikgu Ismail bin Ishak dijemput untuk memberikan ucapan dan beliau berpesan kepada para pelajar supaya menggunakan kata-kata yang elok dan baik dalam pergaulan sesama mereka. Tuan Pengetua SMIK, Cikgu Abdullah Thaidi bin Hassan seterusnya dipersilakan untuk memberikan ucapan dan beliau berpesan bahawa "penutupan" Bulan Membaca dan Bulan Bahasa Melayu ini sebenarnya merupakan "perasmian" kepada aktiviti membaca yang lebih galak lagi. Beliau juga berpesan bahawa Islam ini diteruskan melalui pembacaan.


Selepas penutupan dilakukan dengan rasmi oleh Cikgu Abdullah dan Cikgu Ismail, satu tayangan video perjalanan Bulan Membaca dan Bulan Bahasa Melayu ditunjukkan. Bagi memeriahkan majlis, pelajar-pelajar dari Tingkatan 3 Fathanah membuat persembahan nasyid dengan nama kumpulan mereka "Raisul Fathanah". Seterusnya ialah deklamasi Syair Kelebihan Ilmu oleh Saudara Kamalul Azmi bin Ahmad daripada Tingkatan 4 Itqan. Kemudian tiba acara kemuncak iaitu upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang yang mendapat tempat ketiga dan naib johan. Johan pertandingan akan dianugerahi hadiah pada Hari Kecemerlangan Mahrajan Thaqafi pada 26 April nanti.


Diharapkan para pelajar dapat menggunakan skil mereka untuk kebaikan Islam dan kepada mereka yang tidak berjaya, boleh mencuba lagi pada Bulan Bahasa Inggeris dan Bulan Bahasa Arab yang akan diadakan nanti, insyaAllah.

...
Baca selanjutnya...

Isnin, 30 Mac 2009

Lemah Pendirian

Ditulis semula daripada nota ceramah oleh Ustaz Mazlan pada 30/3/2009.


Perubahan itu bermula daripada diri individu. Apabila individu-individu berubah menjadi baik maka dia menjadi orang baik. Apabila terdapat individu-individu yang baik, maka masyarakat akan menjadi baik. Orang baik bertanggungjawab menuntut ilmu untuk disampaikan kepada masyarakat, terutamanya ilmu agama. Penyampaian ilmu dan fikrah daripada individu-individu yang baik inilah yang akan membentuk masyarakat yang baik. Orang-orang yang baik akan dipersoalkan oleh Allah sekiranya mereka tidak melaksanakan dakwah terhadap masyarakat.


Seringkali terasa sukar bagi seseorang untuk melakukan perubahan, lebih-lebih lagi perubahan ke arah kebaikan dan kebenaran. Antara punca berlakunya masalah ini ialah lemah pendirian. Seorang yang lemah pendirian dikatakan sebagai seorang yang bermaksiat, lalai, dan tidak memenuhi kewajipan dirinya sebagai seorang Muslim. Perlulah diyakini bahawa sesungguhnya syariat Allah itu diturunkan dalam keadaan mampu dilaksanakan oleh manusia dengan berbagai kelonggaran yang dikurniakan Allah. Oleh itu tiada sebab bagi seseorang untuk tidak memenuhi kewajipan beriltizam dengan syarak. Orang yang lemah pendirian dikatakan sebagai orang yang 'aasi yakni orang yang melakukan maksiat kepada Allah, disebabkan kelalaiannya dalam memenuhi hak-hak Allah SWT.


Terdapat beberapa tanda seseorang itu lemah pendirian menurut pendapat ulama'. Maka jika kita mendapati salah satu daripada berikut terdapat dalam diri kita maka ayuh kembali kepada Allah dan berusaha memperbaiki semula diri kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Antara tanda lemah pendirian:



  • Tidak berhati-hati apabila bercakap. Apabila seseorang itu tidak berhati-hati apabila bercakap, percakapannya boleh dimasuki oleh unsur-unsur yang boleh membawa kepada dosa dan fitnah.

  • Tidak taat kepada pemimpin. Seseorang Muslim itu harus taat kepada pemimpin yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan as-Sunnah seperti mana yang telah dijelaskan Allah dalam Surah an-Nisa' ayat 59.

  • Tidak mahu berkorban di jalan Allah.

  • Tidak berhati-hati dalam setiap tindakan yang dilakukan.

  • Tidak sabar dalam menunggu kejayaan. Misalnya seseorang yang berdoa kepada Allah dan mengharap doa itu dimakbulkan pada saat itu juga sedangkan ada doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah serta merta untuk digantikan dengan balasan yang lebih baik kelak.

  • Mudah terpengaruh dengan godaan dunia. Antara cara untuk mengelakkan godaan dunia ialah memperbanyak amalan dan menyibukkan diri dengan amal-amal Islami.

  • Cepat berputus asa daripada rahmat Allah.

  • Melakukan perkara-perkara yang kurang bermanfaat seperti berhibur dengan berlebihan, tidur berlebihan dan sebagainya.


Perlu juga diketahui bahawa terdapat banyak sebab yang boleh menjadikan seseorang itu lemah pendirian. Antara faktor lemah pendirian ialah pergaulan dengan orang-orang yang lemah pendirian, termasuk menuruti perintah pemimpin yang lemah pendirian. Seperti mana hadis Rasulullah SAW "orang Mukmin itu adalah cerminan saudaranya" dan juga kata-kata "rakyat adalah menurut agama pemimpinnya." Faktor lain yang boleh mendorong kepada lemah pendirian ialah lemahnya iman seseorang. Orang yang lemah iman tidak dapat memperbaik dirinya sendiri. Antara cara untuk menguatkan iman adalah dengan menuntut ilmu, terutamanya ilmu Din dan ilmu-ilmu yang dapat membawa kepada kebesaran Allah SWT. Iman berhubung kait dengan amal soleh. Lemahnya iman menyebabkan amalan soleh kita berkurangan, dan kurangnya amal soleh membawa kepada kelemahan iman. Untuk mengelakkan lemah iman, selain daripada menuntut ilmu, kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada mencintai dunia secara berlebihan.


Wallahua'lam.

...
Baca selanjutnya...

Isnin, 23 Mac 2009

Menjadi Insan yang Bermanfaat

Ditulis semula daripada nota ceramah oleh Ustaz Daniel pada 23/3/2009.



Gambar oleh: Khai Ooi

Rasulullah SAW bersabda:


خير الناس أنفعهم للناس


Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia.


Orang yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain. Untuk memberi manfaat kepada orang lain, wasilah yang paling penting yang perlu kita ada ialah ilmu, tidak kira ilmu duniawi atau ukhrawi. Hal ini disebabkan dengan kedua-dua ilmu ini kita dapat memberi faedah kepada orang lain.


Manfaat yang paling utama yang boleh seseorang itu beri kepada seseorang yang lain bukanlah wang ringgit, harta, pakaian, makanan dan sebagainya tetapi perkara manfaat yang paling besar itu ialah memberikan kefahaman Islam yang sebenarnya kepada orang lain dengan mengajak mereka kepada Din Allah SWT yang suci ini melalui akhlak, adab serta qudwah (contoh tauladan).


Hatta kepada ibu bapa; kebanyakan ibu bapa kini sudah berpendapatan, mereka tidak membutuhkan wang ringgit daripada anak mereka tetapi mereka sangat mengharapkan sumbangan anak-anak mereka dari aspek Din. Kita tidak mahu ibu bapa kita terseksa disebabkan kita tidak berkongsi kefahaman Islam dengan mereka. Kita tidak mahu ibu bapa kita terseksa disebabkan dosa-dosa kita dan ketiadaan doa untuk mereka.


Manfaat yang paling besar ini (dakwah dan tarbiyah) melahirkan generasi yang dapat membangunkan Dinullah pada hari ini. Kitalah generasi yang akan membangunkan Islam. Mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan merupakan wasilah kita untuk menyampaikan Islam, tetapi itu bukan matlamat utama kita. Tugas kita yang paling besar ialah DAKWAH. Gulungan ijazah dan sijil boleh didapati di banyak lagi tempat lain, tetapi bagi kita yang berada di dalam medan tarbiyah ini, tugas kita yang paling utama ialah membangunkan Din Allah, meneruskan risalah dakwah Rasulullah dan menegakkan kalimah Lailahaillallah di muka bumi ini.


Antara mafhum yang boleh kita ambil daripada hadis pada awal pos ini ialah janganlah kita menjadi orang yang menyusahkan orang lain, kerana jika demikian kita menjadi seburuk-buruk manusia. Oleh itu sama-samalah kita tegur-menegur antara satu sama lain sebagai cara kita memberi manfaat kepada mereka.


Dalam pada orang lain cuba memberikan manfaat kepada kita dengan memberi tazkirah, peringatan, kaunseling dan sebagainya, boleh terjadi hati kita tidak dapat menerima teguran itu. Teguran tersebut tidak memberi manfaat kepada kita. Seorang ulama' telah membahaskan bahawa punca berlakunya perkara tersebut ialah banyak mengikuti hawa nafsu (ittiba'ul hawa). Firman Allah dalam Surah Sad, 26:


dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah.



Orang yang tidak berada di atas jalan Allah maka dia berada di atas jalan syaitan. Abu Jahal, contohnya, mengetahui kebenaran risalah tauhid yang dibawa oleh baginda Rasul, tetapi hatinya tertutup daripada menerima kebenaran tersebut kerana menurut kehendak nafsu.


Antara punca utama seseorang itu asyik menurut kehendak hawa nafsunya ialah dia berkawan dengan orang yang bersifat sedemikian. Maka dengan itu dia pun mula terpengaruh dengan sifat kawannya yang pada pandangan matanya dianggap "bebas" melakukan apa sahaja. Kesannya, dia pun akan mula mengikut apa sahaja yang dituntut oleh nafsu bagaikan seekor anjing mengikut tuannya. Implikasinya:


Hilang ketaatan kepada sesiapa sahaja.


Hawa nafsu menjadi tuannya. Dia hanya taat kepada nafsunya. Dia tidak lagi taat kepada Allah. Jika kepada Allah dia tidak taat, maka apatah lagi kepada manusia lain.


Menjadi orang yang mempunyai hati yang keras dan berpenyakit.


Firman Allah dalam Surah al-Muthaffifin, 14:


Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.



Rasa ringan nak buat dosa/Meremeh-remehkan dosa


Orang yang beriman melihat dosa bagai sebuah gunung yang besar, dan gunung yang besar itu akan menghimpapnya. Manakala orang fajir melihat dosa bagai lalat yang hinggap di hidung yang mudah saja dihalau.


Menyesatkan/Mengajak orang lain berbuat kejahatan


Orang yang mengikuti hawa nafsu lambat laun akan mempengaruhi orang lain dan menjadi pendakyah kepada kebatilan.


Oleh itu sama-samalah kita menghindarkan diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan yang hina dan menjijikkan disebabkan kita bertuankan hawa nafsu kita sendiri. Melawan kehendak hawa nafsu yang bertentangan dengan syarak dikira sebagai jihad. Moga-moga Islam kan tertegak dengan generasi baru yang membawa ruh baru dalam menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini!

Wallahua'lam.

...
Baca selanjutnya...

Rasulullah Rahmat Sekalian Alam

Ditulis semula daripada nota-nota ceramah Ustaz Adni pada 12 Rabiulawal 1430 disertakan tambahan daripada penulis.


Sebelum kita bermula: Di manakah kita berada daripada Rasulullah?


Gambar oleh: skinnydiver

Kita sering melupakan baginda tetapi insan mulia ini mengingati dan amat menyayangi kita semua. Ungkapan baginda sebelum pergi bertemu Kekasihnya, "Umatku... umatku..." meliputi semua manusia yang hidup semasa kerasulan baginda hinggalah bayi terakhir yang lahir sebelum hari kiamat. Kita termasuk golongan yang disebut baginda sebagai "ummati". Kita merupakan golongan yang sangat diambil berat oleh insan agung ini. Nabi Muhammad SAW menangis kerna kita. Menanggung penderitaan kerna kita. Darahnya yang mulia membasahi bumi kerna kasih baginda yang tak terhingga kepada kita, umatnya.


Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, Yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (At-Taubah: 128)



Nabi Muhammad SAW sayang kita. Hebatnya kasih baginda kepada kita, baginda tak sanggup melihat umatnya terkapai-kapai tanpa pegangan. Terumbang-ambing tak kenal siapa Tuhan. Bergelumang dalam najis kemaksiatan dan kehancuran.


Baginda berkorban segala-galanya demi Islam. Untuk kebaikan umatnya. Kerna kita semua. Namun, apakah yang kita dah buat untuk baginda? Adakah kita telah membuat sekelumit jasa yang boleh membuat Rasulullah bangga dengan kita sebagai umat baginda? Cinta dan kasih baginda yang tak terhingga kepada kita, apakah kita telah membalas cintanya?


Allah SWT telah memberi kita tempoh semenjak baligh hingga mati untuk kita berkhidmat kepada Rasulullah SAW. Berselawat ke atas baginda. Menghidupkan sunnah-sunnah baginda. Menghayati sirah perjalanan hidup baginda. Mempertahankan baginda daripada cercaan kuffar laknatullah. Meneruskan perjuangan dakwah baginda serta memastikan kesinambungan risalah yang dibawa oleh baginda. Kita mahu jika Rasulullah masih bersama-sama dengan kita kini, baginda senyum melihat kita. Kalau kita ingat Rasulullah, Rasulullah akan ingat kita.


Firman Allah dalam Surah al-Anbiya' ayat 107:


dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.



Kelahiran baginda membawa rahmat untuk sekalian alam. Kelahiran kekasih Allah ini bagaikan cahaya yang menyinari segenap alam. Menerangi manusia yang terkapai-kapai dalam kejahilan, memandu mereka kepada makrifatullah. Bayangkan betapa besarnya rahmat ini: Sebesar rahmat seorang anak diketemukan dengan ibunya, besar lagi rahmat seorang hamba dan makhluk diketemukan dengan Penciptanya.


Manusia terbahagi kepada tiga golongan: 1. Golongan yang cinta akan dunia; 2. Golongan yang menghadapi konflik antara dunia dan akhirat; dan 3. Golongan yang menjadikan dunia sebagai ladang akhirat.


1. Golongan yang cinta dunia


Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-Mukminun ayat 37:


Tiadalah hidup yang lain selain dari hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah kita akan dibangkitkan hidup semula.



Mereka ini juga dikenali sebagai golongan materialis. Mereka sanggup berbuat apa sahaja demi memuaskan nafsu duniawi. Ini disebabkan mereka langsung tidak mempercayai bahawa mereka akan dibangkitkan dan akan dipersoalkan akan apa yang mereka kerjakan.


2. Golongan yang menghadapi konflik antara dunia dan akhirat


Firman Allah Ta'ala dalam Surah Ali Imran ayat 14:

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).

Mereka menghadapi satu persoalan dalam hati mereka. Mereka tahu apa bahawa mereka akan dipersoalkan pada Hari Perbicaraan kelak. Tetapi mereka berasa sayang untuk melepaskan nikmat-nikmat duniawi. Kadangkala mereka menuntut dunia, kadangkala mereka menuntut akhirat.


3. Golongan yang menjadikan dunia ladang akhirat


Firman Allah Ta'ala dalam Surah al-An'am ayat 32:


Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?



Golongan inilah yang dibentuk oleh dakwah dan tarbiyah Rasulullah. Kelahiran baginda membawa rahmat ibadah. Melahirkan golongan manusia yang hidup mereka hanyalah ibadah kepada Allah SWT. Menjadikan segala kehendak dunia di tangan, bukan di hati. Mereka sanggup melepaskan dunia apabila akhirat meminta kerna dunia tak lekat di hati. Rahmat ibadah membaiki manusia daripada kehancuran disebabkan cinta dunia. Satu penyelamatan yang agung!


Rasulullah SAW juga lahir membawa rahmat akhlak sepertimana ungkapan baginda: Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.


Baginda diutuskan untuk membentuk manusia. Daripada berakhlak binatang kepada akhlak manusia. Daripada akhlak Jahiliah kepada akhlak Islam. Oh, apakah yang lebih bererti bagi seorang manusia daripada menjadi seorang manusia itu sendiri? Pengutusan baginda merupakan rahmat yang menaikkan taraf manusia menjadi manusia yang sempurna yang berakhlak dengan akhlak-akhlak Islam. MasyaAllah.


Mari kita renung kembali pengorbanan baginda yang agung untuk KITA. Tak basahkah kelopak mata kita hanya memikirkan seorang insan mulia menanggung segala penderitaan yang berat untuk kita? Layakkah kita menikmati hasil pengorbanan yang agung itu tanpa melakukan apa-apa? Apakah kita telah mengenali baginda, insan yang bersusah payah untuk kita? Atau adakah kita hanya mengenali namanya sahaja?!


Oleh itu, marilah kita semua bersama-sama mengukuhkan keimanan kepada Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW. Baginda berkorban untuk walaupun tak pernah melihat kita. Berkhidmatlah untuk baginda walaupun kita tak sempat bersama-sama baginda.


Pada suatu hari Rasulullah SAW menangis maka para sahabat baginda bertanya, "Apa yang membuat engkau menangis wahai Rasulullah?" Maka jawab baginda, "Aku sangat rindu kepada ikhwanku." Maka sahabat pun berkata, "Bukankah kami ini ikhwanmu wahai Rasulullah?" Jawab baginda, "Tidak, kalian ialah sahabatku. Manakala ikhwanku ialah segolongan manusia yang hidup selepasku, mereka mengimaniku padahal mereka tidak pernah melihat aku." - HR Muslim


Moga-moga kita tergolong dalam golongan yang menjadi ikhwan Rasulullah SAW ini. Ingatlah, kalau kita rindu Rasulullah, Rasulullah rindu kita.


Wallahua'lam

...
Baca selanjutnya...

Ahad, 22 Mac 2009

Menjaga Kesempurnaan Ibadah

Oleh: Saudara Hurairah dan Mokhtar


Al-kisah tinggal seorang tua bersama tiga orang anaknya di kampung. Anak sulungnya bernama Anas, sangat disayangi si tua sehingga tidak dibenarkan keluar dari rumah. Anak yang kedua pula bernama Asyraff. Asyraff sering dibawa ayahnya bersiar-siar di sekitar kampungnya. Si tua sangat menyayangi kedua-dua anaknya itu. Tetapi lain pula halnya dengan si anak bongsu, Haris. Badannya kurus kering kerana tidak mendapat zat yang mencukupi. Dia dibiarkan merayau merata kampung dalam keadaan terabai dan tidak terurus.

Pada suatu hari, raja telah menitahkan si tua supaya datang mengadap baginda. Si tua itu berasa risau kerana dengan badannya yang semakin uzur dan tenat, dia diperintahkan supaya mengadap raja lantas dia meminta anak sulungnya, Anas supaya menemaninya. Akan tetapi apabila sampai di pintu Anas berkata, "Maaf ayah, Anas tak pernah keluar dari rumah. Sampai sini sahaja Anas boleh temankan ayah." Si tua pun berasa sedih kerana anak kesayangannya tidak dapat menemaninya.

Lalu dia meminta anak keduanya, Asyraff untuk menemaninya. Akan tetapi apabila sampai di penambang, Asyraff berkata,"Maaf ayah, Asyraff tidak pernah keluar dari kampung, sampai di sini sahaja Asyraff dapat menemani ayah." Bertambah sedihlah hati si tua kerana kedua-dua anak kesayangannya tidak dapat menemaninya. Lantas si tua bertemu dengan anak bongsunya, Haris. "Hei Haris, tolong bawakan ayah pergi ke Istana Raja!" Lalu Haris pun membawa ayahnya meredah lautan dngan sampan kecil mereka ke istana. Dengan izin Allah, ribut melanda dan lautan bergelora. Si tua yang uzur hanya berharap kepada haris yang kurus kering. Ditakdirkan, matilah kedua-dua anak-beranak itu.

Inilah sebenarnya yang berlaku di dalam kehidupan kita. Anas boleh diibaratkan sebagai harta; Asyraff sebagai anak dan isteri kita; dan Haris ialah amal ibadah kita. Lazimnya, kita akan mengutamakan Anas (harta) dan Asyraff (anak dan isteri) tetapi mengabaikan Haris (amal ibadah) sedangkan Anas(harta) akan kita tinggalkan di rumah dan Asyraff (anak dan isteri) sekadar menemani kita di penambang (kubur) dan yang akan dibawa bertemu raja (Allah) adalah Haris (amal ibadah). Secara ringkasnya amal ibadah adalah satu aspek yang penting dalam kehidupan.

Ibadah juga merupakan satu jalan menuju syurga Allah. Oleh sebab itu, ibadah ialah sesuatu yang perlu kita perbaiki dari hari ke hari supaya kita dapat mencapai tahap kesempurnaan ibadah yang paling tinggi. Bagi mencapai tahap ibadah yang sempurna, pertama sekali kita hendaklah memperbetul niat kita. Ibadah yang sempurna disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Niat yang ikhlas datang dari hati yang ikhlas. Bertepatan dengan hadis baginda SAW:

Maksudnya: Daripada Umar ibn Al-Khattab RA: "Aku terdengar Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya setiap amalan (dikira) berdasar kepada niat."

Seterusnya, ibadah yang sempurna ialah ibadah yang dilakukan dengan khusyuk. Ramai dalam kalangan kita tertanya-tanya bagaimana untuk khusyuk dalam melakukan ibadah. Sering kali ketika melakukan ibadah seperti bersolat, kebanyakan dari kita mengalami kesukaran untuk khusyuk. Ini kerana syaitan sentiasa berusaha menghasut anak cucu Adam sehingga hari kiamat. Orang yang khusyuk dalam ibadah akan merasakan dirinya diperhatikan Allah SWT. Selain itu, maksiat juga ialah satu punca kita mengalami kesukaran untuk khusyuk. Apabila kita melakukan sesuatu ibadah dengan niat yang ikhlas disertakan dengan khusyuk, barulah kita akan merasai kenikmatan dalam beribadah seperti Rasulullah dan para sahabat. Sehingga ada diriwayatkan bahawa, ada seorang sahabat yang cedera dipanah ketika berperang. Ketika hendak dicabut anak panah itu, dia berkata, "Cabutlah ketika aku sedang menunaikan solat."

Cuba anda lihat, seorang sahabat meminta dicabut anak panah ketika solat. Kenapa dia meminta sedemikian? Ini menunjukkan betapa khusyuk ibadah yang dilakukan sehinggakan tidak terasa kesakitan yang diakibatkan oleh anak panah yang dicabut. MasyaAllah, lihat betapa hebatnya impak ibadah jika kita dapat menjaga kesahihan dan kesempurnaannya. Ia bagaikan penawar bagi segala racun dan penenang bagi jiwa.

Apabila kesahihan ibadah tidak dijaga, maka kuranglah kesungguhan beribadah. Hati disibukkan dengan perkara melalaikan. Kenikmatan beribadat pula bertukar menjadi suatu bebanan. Sukar untuk terus bangkit daripada penyakit ini.

Untuk memulihkannya, maka buatlah amalan wajib yang berkualiti. Sembahyang fardhu mesti tetap dijaga khusyuk dan rukunnya.

Jika ubat yang ditelan itu menampakkan hasil, anda akan beransur-ansur pulih dan sihat. Tetapi, jangan terlalu lama meninggalkan ibadah sunat kerana ia umpama vitamin bagi hati- makanan tambahan untuk hati yang sihat. Ibadah sunat berfungsi menjaga kesegaran hati supaya tetap sihat dan bertenaga.

Imam al-Ghazali membayangkan bahawa dalam hal ibadah, ada dua bentuk yakni ibadah yang fardhu (wajib) dan ibadah yang sunat.

Ibadah yang fardhu adalah wajib dikerjakan, dan apabila selesai dikerjakan dengan sempurna dan memenuhi segala syaratnya bererti kita terlepas daripada tanggungjawab. Imam Ghazali membayangkan, kalau dalam perniagaan, itu seolah-olah modal. Dalam erti kata lain, kalau modal perniagaan kita adalah sebanyak $10,000, maka kita mendapat pulangan sebanyak $10,000. Kita tidak mendapat untung, tetapi kita tidak mengalami kerugian. Begitulah ibaratnya orang yang mengerjakan ibadah wajib semata-mata.

Ibadah sunat pula adalah ibarat keuntungan. Ibarat modal $10,000, tetapi kita mendapat pulangan $20,000, $30,000 dan sebagainya. Kerana itu, orang yang banyak mengerjakan ibadah sunat ini lebih dikasihi Allah dan lebih hampir kepada Allah. Justeru, orang yang banyak mengerjakan ibadah sunat pastinya orang yang akan mendapat ganjaran yang lebih lumayan di akhirat kelak.

Mungkin ramai umat Islam pada hari ini berasa selamat dengan sekadar mengerjakan ibadah wajib semata-mata. Namun, kita harus ingat bahawa sebagai manusia biasa kita punya banyak kelemahan dan tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan. Sebab itulah, adab yang baik sebagai hamba Allah yang lemah adalah kita membanyakkan aktiviti ibadah sunat sebagai merealisasikan peranan kita yang utama sebagai hamba Allah, sekaligus membantu untuk menampung kesilapan-kesilapan yang mungkin kita lakukan dalam ibadah-ibadah wajib.

Insya-Allah.
...
Baca selanjutnya...

Jom 'Check' Aqidah Kita

Oleh: Ahmad Ilman & Ahmad Hashimi


Sebelum kita berbual panjang, apakah itu aqidah?


Aqidah ertinya kepercayaan. Maksudnya, apa yang kita percayai, apa yang kita yakini, dan perinsip yang kita pegang - semuanya boleh dikategorikan 'aqidah'.


Sebagai orang Islam, kita perlu jelas akan apa yang kita percayai dan yakini. Semuanya sudah dijelaskan oleh Allah dan rasul-Nya dalam dua sumber pegangan umat Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Kalau kita mengambil kepercayaan dan keyakinan yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah, aqidah kita akan rosak dan kita akan terpesong daripada jalan Allah. Orang yang terpesong jauh daripada landasan Islam dikatakan kafir dan musyrik.


Sepertimana yang kita semua sudah tahu, aqidah Islam berkisar pada keyakinan terhadap rukun iman yang enam: kepercayaan kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, para Rasul, hari akhirat serta qada' dan qadar. Kalau kita benar-benar yakin dengan keenam-enam rukun ini, insya-Allah, kita akan masuk syurga. Hal ini disebabkan kita akan melakukan semua perkara yang dituntut oleh Islam dan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah.


Bagaimanakah manusia boleh melaksanakan suruhan-suruhan Allah dan meninggalkan larangan-larangan-Nya? Bagaimanakah hati seseorang boleh tergerak untuk melaksanakannya?


Ketahuilah, bahawa hati seseorang yang terikat dengan iman akan meyakini bahawa Allah melihatnya sepanjang masa. Dia meyakini bahawa Allah berada di mana-mana. Dia yakin akan kebenaran malaikat. Meyakini bahawa Raqib dan Atid mencatat semua perbuatannya. Dia meyakini kebenaran al-Quran, kebenaran risalah Rasul, meyakini hari Akhirat serta qada' dan qadar (aturan Allah). Keyakinannya terhadap keenam-enam rukun ini amat kuat, bagai diikat dengan satu ikatan yang kukuh.


Selain meyakini rukun iman dengan sebenar-benar keyakinan, aqidah Islamiah juga mengajak kita memahami tiga soalan asas kehidupan:
i) Siapakah diri kita?
ii) Mengapakah kita diciptakan?
iii) Ke manakah kita sedang menuju?


Menjawab persoalan-persoalan ini, Islam menjelaskan bahawa diri kita ialah hamba. Hamba kepada Allah. Hidup kita ini bukan sia-sia. Allah menyatakan dalam al-Quran surah al-Mu'minun 115: "maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami mencipta kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami?"


Kita diciptakan untuk beribadah kepada Allah. Dengan jelas Allah menyatakan dalam surah az-Zariyat ayat 56: "Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku". Kita juga diciptakan untuk menjadi khalifah Allah yang mengurus manusia dan mentadbir muka bumi ini. Seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 30: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; 'Aku hendak menjadikan khalifah di bumi' ".


Matlamat hidup kita perlu jelas. Kita sedang menaiki bahtera kehidupan untuk menuju negeri akhirat. Di perlabuhan negeri akhirat, "passport" kita akan diperiksa. Jika pada "passport" kita tertulis REDHA ALLAH maka kita dijemput masuk ke kota syurga. Jika pada "passport" kita tertulis MURKA ALLAH maka kita akan dilempar ke dalam jurang neraka. Itulah anologi kehidupan, supaya kita jelas bahawa REDHA ALLAH sahajalah matlamat kita.


Dalam era teknologi kini, aqidah kita berada dalam bahaya. Sedar tak sedar, ramai yang telah meremehkan status ilahi Allah SWT. Misalan; menonton televisyen hingga mengabaikan solat Maghrib, atau "study" sampai larut malam hingga tak larat solat Subuh. Perbuatan seperti ini membuatkan kita seolah-olah menjadikan televisyen dan "study" sebagai Ilah (tuhan) kita apabila lebih mementingkan benda-benda itu daripada Allah. Tidak kira kita tingkatan Satu, Dua, Tiga, Empat atau Lima; matangkan minda kita dan renungkan: Sudah berapa banyak kita lalai dengan perkara-perkara dunia sehingga mengabaikan suruhan Allah?


Oleh itu pihak FaTa menyeru kepada semua -termasuk diri-diri kami - supaya kita memantapkan iman dan aqidah kita. Seperti takrif iman itu sendiri: perkara yang diyakini dalam hati, diucapkan dengan lisan dan dibuktikan dengan amalan zahir. Buktikan bahawa kita ini orang Islam yang sebenarnya dengan melaksanakan semua suruhan Allah dan meninggalkan larangannya. Moga-moga masyarakat SMiK menjadi masyarakat Islam yang mendukung aqidah yang murni dan gigih menyebarkan fikrah Islam yang suci ini ke seluruh dunia, insyaAllah.


Wallahu a'lam


...
Baca selanjutnya...

Jiwa Tahun Baru Hijrah

oleh: Mokhtar


Tahun baru merupakan permulaan bagi setiap pertambahan angka pada tahun. Dari segi umur ia membawa maksud manusia semakin membesar menjadi remaja, dewasa dan tua. Manakala dari sudut pengalaman pula, ia semakin bertambah dan bertambah.

Dan ketahuilah bahawa tiada yang kekal dalam alam ini melainkan Allah SWT. Detik yang kita lalui sekarang akan berlalu untuk menjejaki detik-detik seterusnya.

Hari yang ditempuhi kini akan menjadi kenang-kenangan apabila esok datang. Minggu yang kita jalani akan menjadi sejarah apabila minggu berikutnya menjelang. Bulan yang kita ikuti dengan pelbagai perkara akan menjadi silam apabila bulan-bulan berikutnya tiba. Dan tahun yang kita alami juga akan bertukar kepada tahun baru untuk dibaharui tekad dan azam.

Jika dilihat remaja zaman sekarang, tahun baru selalu disambut dengan azam. Azam yang dilalui pada tahun-tahun terdahulu diperkukuhkan atau diperbaharui dan azam terkini dibina. Ada remaja menyambut tahun baru dengan bersuka ria, berseronok dan berhibur.

Tetapi sebagai seorang remaja Islam yang melakukan sesuatu dengan berlandaskan syariah, tahun baru seharusnya disambut dengan Jiwa Hijrah.

Jiwa hijrah bermakna terdapat perubahan yang bermakna kepada remaja. Semangat hijrah Rasulullah SAW yang dijadikan sistem kalendar didasarkan pada hari pertama Rasulullah berpindah ke Madinah iaitu pada tahun 622 Masihi.

Tahun Islam didasarkan kepada putaran bulan dan berjumlah 354 hari setahun, berbeza dengan tahun Masihi berjumlah sekitar 365 hari. Apa pun perbezaannya, kita tetap merayakan detik yang yang sama dan tahun yang serupa. Apa yang berbeza ialah cara dan semangat merayakan tahun baru tersebut.

Tahun baru dalam semangat hijrah harus membawa remaja berfikir tentang umat Islam kini. Barat yang terhutang ilmu kepada Islam mampu bangun melakukan perubahan dan penjajahan dan akhirnya selama hampir 700 tahun minda Barat menguasai minda umat Islam. Pada hari ini sebahagian remaja Islam menjadikan Barat sebagai rujukan untuk maju, moden dan progresif. Terdapat dalam kalangan remaja Islam menganggap Islam sebagai agama yang membelenggu, jumud dan ketinggalan zaman.

Semangat hijrah harus mendorong remaja berfikir ke arah perubahan yang fitrah dan berfikrah.

Jadi sama-samalah kita jadikan tahun baru ini sebagai satu masa untuk kita kembali kepada fitrah yang asal dan mengubah pandangan remaja Islam itu sendiri bahawa Islam itu bukanlah agama yang ketinggalan zaman, tetapi Islam itu merupakan agama yang tertinggi dan tiada lagi yang setingginya.

...
Baca selanjutnya...

Sabtu, 14 Mac 2009

Sukan Tahunan SMIK 2009

Kerjasama dan Ukhuwah Bawa Keberkatan


Oleh: Hurairah & Mokhtar


SMIK - Sukan Tahunan yang merupakan aktiviti tahunan bagi setiap sekolah, telah diadakan di Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK) pada bulan ini.

Pihak sekolah telah memilih tarikh 7-23 Februari sebagai tempoh Minggu Sukan Tahunan SMIK 2009. Minggu Sukan telah dilancarkan pada hari Sabtu, 7 Februari, oleh Ustaz Abdul Rahhim; dan pada hari yang sama telah diadakan pembahagian rumah sukan serta latihan merentas desa bagi putera dan puteri.


Seperti tahun-tahun yang lepas, acara sukan yang dipertandingkan ialah tiga acara khusus dan satu acara umum bagi pelajar putera mahupun pelajar puteri. Pelajar putera beradu tenaga bagi acara bola tampar, sepak takraw dan juga futsal. Manakala pelajar puteri pula memperlihatkan kehebatan mereka dalam permainan rounders, badminton dan bola jaring. Acara umum bagi pelajar putera dan pelajar puteri ialah merentas desa mengikut tahap yang telah berlangsung pada hari Rabu, 11 Februari 2009.

Pada hari Khamis, 19 Februari, diadakan saringan bagi acara-acara perlawanan putera dan puteri sehingga ke tahap semi final. Hari tersebut merupakan hari yang didedikasikan untuk sukan sepenuhnya. Perlawanan akhir (final) bagi acara-acara perlawanan telah diadakan pada hari Sabtu, 21 Februari.

Seperti biasa,rumah sukan untuk putera terdiri daripada kumpulan Abdul Rahman al-Fateh, Muhallab Abi Safrah dan Tariq Ziad. Manakala rumah sukan bagi puteri pula ialah Ummu Salamah, Khansa' dan Nusaibah.

Majlis Penutup Sukan Tahunan 2009 ini telah diadakan secara gempak pada hari Isnin, 23 Februari 2009, serentak dengan Majlis Pelancaran Bulan Membaca, Bulan Bahasa Melayu dan Mahrajan Thaqafi dengan usaha gigih guru-guru yang bertugas dan para pelajar. Majlis ini diadakan pada waktu perhimpunan pagi SMIK di dewan serba guna.

Keputusan akhir telah diumumkan oleh Ustaz Abdul Rahhim dan Ustaz Mazlan pada majlis tersebut dengan mencatatkan kumpulan Tariq Ziad menempah tempat pertama, Abdul Rahman al-Fateh di tempat kedua dan diikuti Muhallab Abi Safrah ditempat yang ketiga bagi rumah sukan putera. Manakala bagi rumah sukan puteri pula, tempat pertama jatuh kepada Nusaibah, Khansa' menggondol tempat kedua dan diikuti rumah Ummu Salamah ditempat ketiga.

Sukan Tahunan kali ini menunjukkan bahawa para pelajar SMIK memiliki semangat kesukanan dan kepasukanan yang tinggi, terutamanya yang ditunjukkan oleh rumah Tariq Ziad yang berjaya mematikan gelaran juara 5 tahun berturut-turut (sehingga 2008) yang dipegang oleh rumah Muhallab Abi Safrah.
...
Baca selanjutnya...

Ahad, 1 Mac 2009

Pelancaran BBM, Bulan Membaca dan Mahrajan Thaqafi

oleh: Ahmad Ilman


SMIK, 24 Februari — Tiga pelancaran diadakan serentak di dewan terbuka Sekolah Menengah Ibn Khaldun (SMIK) pada waktu perhimpunan hari Isnin, semalam.


Pelancaran yang dimaksudkan ialah Pelancaran Bulan Bahasa Melayu dan Bulan Membaca serta Pelancaran Mahrajan Thaqafi.


Majlis dimulakan oleh pihak UMANA dan seterusnya majlis diserahkan kepada AJK Persatuan Bahasa Melayu untuk melancarkan Bulan Bahasa Melayu dan Bulan Membaca SMIK 2009. Persatuan Bahasa Melayu mengadakan kerjasama dengan Pengawas Pusat Sumber untuk menjayakan program gabungan Bulan Bahasa Melayu dan Bulan Membaca 2009. Bulan ini membawa tema "Ilmu Merintis Kecemerlangan Minda" sebagai penekanan kepada kepentingan ilmu dalam melatih akal yang dikurniakan Allah. Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang Bulan Bahasa Melayu dan Bulan Membaca ini termasuklah pertandingan cerpen, syarahan, Jejak Kamus, sajak berduet dan macam-macam lagi.


Bulan Bahasa Melayu dan Bulan Membaca telah dirasmikan oleh Tuan Pengetua SMIK, Cikgu Abdullah Thaidi bin Hassan setelah beliau memberikan ucapan akan perlunya kita membaca dengan nama Rabb yang menciptakan. Dalam majlis ini juga dilancarkan logo dan moto baharu Persatuan Bahasa Melayu iaitu "Lisan Wajah Iman" menunjukkan penggunaan bahasa merupakan cerminan fikrah diri kita.


Majlis seterusnya diserahkan kepada PK HEM, Cikgu Ismail bin Ishak yang seterusnya memberikan taklimat mengenai Mahrajan Thaqafi, Perayaan Ilmu yang diadakan oleh SMIK setiap tiga tahun yang akan berlangsung bermula pelancarannya semalam sehingga kemuncaknya pada 26 April 2009. Pelbagai program akan diadakan bersempena sambutan ini termasuklah pertandingan, forum, persembahan, jualan, pameran dan banyak lagi. Pelancaran Mahrajan Thaqafi juga dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Pengetua.


*Turut diadakan dalam majlis ini ialah Program Penutupan Minggu Sukan Tahunan SMIK 2009 yang menyaksikan Rumah Tariq bin Ziad (putera) dan Rumah Nusaibah (puteri) merangkul gelaran juara pada tahun ini.

...
Baca selanjutnya...

Selasa, 10 Februari 2009

Ancaman Globalisasi: Budaya Jahiliah Berakar

oleh: Ahmad Hashimi Roslan


Di dalam dunia pada zaman moden kini, seribu satu maklumat berada di hujung jari. Pendapat, pandangan dan ideologi mengalir deras dalam arus teknologi maklumat sekarang, tak kira baik atau buruk. Semua ini membawa kepada satu kesan: penyatuan cara hidup tanpa mengira bangsa dan sempadan; dan cara hidup yang baru ini melunturkan semua identiti bangsa dan digantikan dengan cara hidup yang baru. Cara hidup yang baru ini juga merupakan lambang pemodenan— dan sumber atau rujukan cara hidup ini terutamanya dari Barat atau Eropah.


Tidak dapat dipastikan jika ini merupakan satu perancangan atau tidak, tetapi yang pastinya, cara hidup ini membawa banyak kesan buruk kepada satu bangsa— bukan bangsa Melayu, tetapi bangsa Islam. Seperti yang telah dinyatakan, setiap bangsa mempunyai identitinya masing-masing sebelum kedatangan cara hidup yang diagung-agungkan sekarang ini; dan identiti bangsa Islam merupakan satu cara hidup yang paling sempurna, lengkap, dan cantik sama ada sebelum ataupun selepas kemunculan cara hidup yang baru ini. Sebabnya hanya satu: ia bukan datang dari buah fikiran manusia tetapi dari Pencipta buah fikiran manusia, malah Pencipta kepada manusia itu sendiri. Apakah kesan cara hidup baru yang lain daripada Islam ini? Kepada yang masih tidak sedar, lihatlah di depan mata kalian sendiri, atau mungkin ke dalam diri kalian sendiri. Hendak tahu bagaimana cara hidup Islam beroperasi sepenuhnya dan ingin membuat perbandingan dengan cara hidup sekarang? Belajarlah sejarah bangsa Islam. Ataupun mungkin kalian boleh cuba hidup dalam saki-baki jamaah yang berpegang kepada cara hidup Islam dan cuba untuk mewujudkannya semula.


Cara hidup Islam, identiti bangsa Islam. Seperti yang telah dinyatakan, cara hidup yang mulia ini hampir-hampir hilang pada zaman sekarang. Mengapa hampir hilang? Cara hidup Islam kini biasanya hanya terdapat dalam kertas-kertas yang menceritakan tentangnya. Tetapi di manakah penggerak-penggeraknya, pengamal-pengamalnya?! Terlalu dagang orang-orang yang mengamalkannya sekarang. Ketahuilah hai ahli-ahli kepada bangsa Islam: sesungguhnya Pengasas kepada cara hidup ini yakni Rabb kita Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 138:



Sibghah Allah (acuan Allah); siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah.



Sekarang ini terlampau sedikit yang diacu dengan dengan acuan Allah, kerana mereka secara sedar atau tidak telah memilih acuan-acuan Barat. Kita perlu sedar bahawa acuan Islam yang dicipta khas oleh Allah SWT ialah yang terbaik, kerana kita merupakan pewaris dakwah Rasulullah SAW.


Akhir kata, wahai kalian yang menerima tarbiyah, rasailah betapa beruntungnya kita yang masih berada dalam lubuk tarbiyah ini. Manfaatkanlah, kerana pada suatu hari, pembawa imej dan identiti Islam ialah orang-orang yang lahir dari lubuk tarbiyah ini sebagai penjuru-penjuru Islam, bucu-bucu Islam. Sebagai manusia yang lemah, secara fitrahnya dan secara aqidahnya kita tidak boleh memilih dua cara hidup yang berbeza untuk hidup kita. Oleh itu nilailah dua cara hidup ini dan pilihlah dengan kebijaksanaan kalian. Ketahuilah bahawa cara hidup yang Barat keluarkan dan pasarkan memang merupakan perancangan mereka. Maka sekarang ini kita sedang berhadapan dengan satu organisasi atau kesatuan yang cukup kuat.


Sahabat-sahabat sekalian, jalan yang kita pilih ini tidak akan menjanjikan apa-apa di dunia ini kecuali luka, peluru dan tali gantung yang boleh melemahkan sesiapa sahaja tetapi bukan kalian, kerana kalian dibentuk dalam suasana tarbiyah, dan dihiaskan dengan keindahan akhlak. Diri ini tidak dapat menjanjikan apa-apa kebahagiaan untuk kalian di dunia ini, tetapi diri ini menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada itu iaitu doa, supaya kita sama-sama teguh melalui jalan dakwah yang mulia ini.


Wallahua'lam.

...
Baca selanjutnya...

Pelancaran Mentor Mentee Luaran '09

oleh: Baihaqi Sabarudin & Arif Azaldin


SMIK, 6 Februari — Program Pelancaran Mentor Mentee Luaran Putera Sekolah Menengah Ibn Khaldun telah diadakan pada hari Jumaat, pukul 8.30 malam bertempat di dewan terbuka Sekolah Menengah Ibn Khaldun.


Program pelancaran tersebut telah dirasmikan oleh Pengelola Pentadbir Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Encik Hamdan B. Mokhtar. Program tersebut telah berjalan dengan lancar dengan izin Allah. Bilangan pelajar putera Sekolah Menengah Ibn Khaldun yang telah dicampur dari Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima jumlahnya ialah 161 orang. Para pelajar telah dibahagikan kepada 22 kumpulan.


Pelajar Tingkatan 1 dibimbing oleh Pakcik Huzaidi, Ustaz Asri, Pakcik Eddy, Ustaz Ali Noor Atif, Ustaz Shihabuddin, dan Pakcik Nasaruddin Manaf.


Manakala pelajar Tingkatan 2 pula dibimbing oleh Ustaz Adni, Pakcik Kamarudin Putih, Pakcik Hafiz dan Pakcik Shiro Othman, Pakcik Azmi, dan Pakcik Syed Hamid.


Pelajar Tingkatan 3 dibimbing oleh Pakcik Kamarudin Ahmad, Pakcik Roslan Ismail, Pakcik Wan Rafi dan Pakcik Surail, Dr. Zabidin dan Dr. Basir. Pelajar-pelajar yang datang dari Rumah Kebajikan Al-Khadeem dibimbing oleh Cikgu Shamsudin dan Pakcik Hamdan Soleh.


Manakala pelajar Tingkatan 4 pula dibimbing oleh Pakcik Haris Wahab, Pakcik Badri Shukor, dan Pakcik Ibrahim Abd Rahman.


Akhir sekali, pelajar Tingkatan 5 dibimbing oleh Pakcik Hamdan dan Abang Shahrul, Pakcik Jaafar Sidek, dan Pakcik Khairuddin.


Program Mentor Mentee Luaran diadakan pada setiap hari Jumaat. Waktu mula dan tempat tertakluk kepada mentor masing-masing. Diharapkan dengan adanya program Mentor Mentee ini, pelajar-pelajar dapat meningkatkan kualiti jati diri yang selama ini wujud pada setiap pelajar supaya menjadi insan bertarbiyah yang berilmu dan bertaqwa insyaAllah.

...
Baca selanjutnya...

Sabtu, 7 Februari 2009

Kasih Seorang Guru

Kasih seorang guru
lebih wangi dari kasturi
biar gugur tak berteman
harumannya tetap di ingatan.


Kasih seorang guru
sesuci mega Ilahi
meski muram di kala pagi
petang hadir penuh rezeki.


Kasih seorang guru
semanis kasih orang bercinta
andai salah terkhilaf bahasa
cinta Tuhan menyatu semula.


Kasih seorang guru
kasih ribuan bunga
cinta bintang kejora
sayang kita bersama.


Pelangi93
5 Februari 2009 (1840)
Kamar Bisu


...
Baca selanjutnya...

Khamis, 5 Februari 2009

Hikmah Menundukkan Pandangan

Disunting daripada tulisan Imam Ibn Qayyim al-Jawziyah


Allah SWT telah berfirman:

Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kehormatannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat."

Allah SWT telah menjadikan penyucian serta perkembangan rohani itu satu natijah daripada menundukkan pandangan dan memelihara kehormatan. Oleh sebab inilah, menundukkan pandangan daripada melihat sesuatu yang dilarang itu membawa kepada tiga kebaikan yang mendukung nilai yang amat besar, yang utamanya: Merasai keseronokan dan kemanisan iman.

Keseronokan dan kemanisan iman adalah lebih sedap dan nikmat daripada keseronokan yang mungkin diperoleh daripada objek yang seorang Mukmin menundukkan pandangan daripadanya kerana Allah SWT. Benarlah sesungguhnya "barangsiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripada itu." (HR Ahmad)

Hawa nafsu manusia itu sentiasa cinta untuk melihat perkara-perkara yang cantik. Mata itu merupakan pemandu jalan bagi hawa nafsu. Hawa nafsu akan meminta panduan daripada mata untuk melihat apa yang ada, dan apabila mata itu melihat sesuatu yang cantik, timbullah perasaan suka dan keinginan terhadap sesuatu yang dilihat oleh mata itu. Biasanya, hubungan antara mata dan hati ini akan memenatkan kedua-duanya seperti dikatakan:

Apabila pada suatu hari kamu menjadikan mata kamu sebagai pemandu jalan bagi hati, apa yang dilihat oleh mata kamu akan memenatkan kamu kerana kamu melihat sesuatu yang kamu tiada kuasa ke atasnya walau sebahagian pun, maka kamu perlu memaksa hati untuk bersabar.

Maka apabila pandangan mata itu dicegah daripada melihat perkara-perkara yang dilarang, hati akan berasa lega dan tenang kerana ia tidak perlu mengalami kepayahan dalam menginginkan sesuatu.

Barangsiapa yang membiarkan pandangannya bebas melihat ke mana sahaja, dia akan mendapati dirinya berada dalam keadaan kehilangan dan kesengsaraan yang tiada berkesudahan. Hal ini demikian kerana pandangan itu melahirkan rasa suka (mahabbah) yang merupakan titik tolak ketertautan hati dengan apa yang dilihat oleh matanya. Perasaan mahabbah ini kemudiannya bertambah kuat lalu menjadi keinginan yang meluap-luap (sababah) di mana hati tersebut menjadi tertaut dan bergantung sepenuhnya kepada objek yang dilihatnya. Perasaan sababah ini pula akan bertambah kuat lagi langsung menjadikannya tergila-gila (gharamah) yang mengikat hati seperti mana penghutang mengekori pemiutang yang belum membayar hutangnya. Ini akan bertambah kuat lagi dan menjadi cinta ghairah (ishk) yang merupakan cinta yang mengatasi segala had. Ishk akan bertambah kuat lalu menyebabkan dia mabuk cinta (shaghafa) sejenis cinta yang menyelaputi setiap ceruk dalam hati. Kemuncaknya ialah tatayyum, apabila cintanya menjadi cinta yang berupa pujaan/sembahan.

Maka hati tersebut mula memuja sesuatu yang tidak patut dipujanya - dan sebabnya tidak lain tidak bukan adalah kerana satu pandangan yang tidak dibenarkan. Hati tersebut kini terikat dek rantai-rantai walhal sebelum ini hatilah yang 'merantai' atau menguasai anggota tubuh yang lain. Hati tersebut telah dikongkong oleh matanya dan apabila hati mengutarakan hal ini pada mata, mata pun menjawab, "Saya ialah pemandu jalan juga utusan kamu. Kamulah yang menghantar saya masa mula-mula dahulu!"

Perkara di atas berlaku pada hati yang di dalamnya tiada lagi cinta serta keikhlasan pada Allah. Hal ini demikian kerana hati manusia itu memerlukan objek cinta yang membolehkannya mencurahkan ketaatan dan kesetiaan. Oleh sebab itu, apabila sebuah hati itu tidak mencintai Allah semata-mata serta tidak menjadikannya sebagai Ilah, maka hati tersebut perlu mencintai dan menyembah objek lain. Nauzubillah min zalik.


Wallahua'lam.

...
Baca selanjutnya...

Selasa, 3 Februari 2009

Ceramah Kerjaya Profesional 2009

oleh: Ahmad Ilman



SMIK, 31 Januari – Seramai lebih kurang 50 orang pelajar putera dan puteri Tingkatan Empat dan Lima Sekolah Menengah Ibn Khaldun menghadiri program “Ceramah Kerjaya Profesional” yang diadakan di dewan serbaguna, sini, pada hari ini.


Program yang bermula pada 9 pagi hingga 12.30 tengah hari ini bertujuan mendedahkan pelajar-pelajar menengah atas kepada dunia kerjaya profesional serta menjelaskan kepentingan berkecimpung dalam bidang kerjaya profesional sebagai seorang Muslim.


Ceramah tersebut disampaikan oleh empat orang ahli Kelab Ikhtisas Haluan yang merupakan profesional-profesional dalam kerjaya masing-masing. Ceramah pertama mengenai Kejuruteraan Awam disampaikan oleh Encik Hj. Jailani Yusoff yang merupakan associate director di sebuah firma perunding kejuruteraan, Khairi Consults Sdn. Bhd. Ceramah seterusnya mengenai Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal disampaikan oleh Encik Mohd Taat Ali Othman, Senior Manager (Elektrikal) di Opus International (M) Bhd. Selepas rehat 20 minit, Encik Azhar bin Ahmad, Head of Department di Sepakat Computer Consultant menyampaikan ceramah mengenai bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT). Ceramah terakhir disampaikan oleh Encik Handzalah Abdullah, pensyarah bahagian juruukur bahan di Department of Quantity Surveying, Kulliyah of Architecture & Environmental Design, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Daripada tinjauan yang dilakukan oleh Encik Jailani Yusoff di akhir program, ramai pelajar SMIK berminat menceburi bidang ICT sebagai kerjaya profesional mereka, diikuti kedoktoran dan kejuruteraan.

...
Baca selanjutnya...

Melangkah ke Tahun Baru

oleh: Sidang Editor Fikruttaqwa


Assalamualaikum WBT.


Alhamdulillah, kita rafakkan setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah SWT yang sentiasa melimpahkan nikmat-Nya; yang mengizinkan blog ini wujud, yang memberi kekuatan kepada tangan ini menulis, dan yang memberi keupayaan pembaca menatap log maya ini. Selawat dan salam kita tujukan kepada Nabi Muhammad SAW Rasulullah yang telah berkorban dengan pengertian tadhiah yang sebenarnya demi umatnya sehingga hati-hati kita pada hari ini tersentuh jua dek nur Allah SWT melalui gelombang tarbiah harakiah yang dimulai baginda.


Alhamdulillah, sekali lagi, kita telah pun melangkah ke tahun persekolahan baru 1430H/2009M. Ini merupakan peluang yang diberi oleh Allah SWT untuk kita memperbaiki salah silap yang kita lakukan pada tahun-tahun lalu untuk kita sama-sama menjadi insan yang lebih baik dan lebih bertaqwa kepada Allah.

Apa-apa yang berlaku sebelum ini tak usah diingat-ingati dan jangan pula dilupakan terus. Tak usahlah kita jadikan perkara yang telah berlalu sebagai penghalang untuk kita melakukan perubahan dan jadikanlah salah silap kita sebagai iktibar dan pengajaran yang tidak akan kita ulangi untuk kita jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Ketahuilah, setiap manusia itu berbuat salah, dan sebaik-baik manusia yang berbuat salah ialah mereka yang bertaubat atas kesalahan mereka.


Pihak Fikruttaqwa mengucapkan tahniah dan ahlan wa sahlan kepada para pelajar baharu dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Ibn Khaldun pada tahun ini. Kalian ialah insan-insan pilihan Allah yang diberi peluang oleh Allah untuk duduk dalam suasana tarbiyah Islam. Dikurniai dengan para murabbi yang bersungguh-sungguh mendidik antum menjadi insan yang diredhai Allah. Segala yang bakal antum terima di sini, baik kesusahan mahupun kesenangan, merupakan cebisan-cebisan nikmat Allah. Iman dan Islam merupakan dua nikmat terbesar maka segala yang diperlukan untuk mencapainya jua ialah nikmat. Dimarahi guru adalah untuk menambah iman. Menolong guru adalah untuk menambah iman. Disuruh berdiri di tengah panas ketika latihan kawad adalah untuk menambah iman. Berbual dan berdiskusi dengan rakan-rakan adalah untuk menambah iman. Ini merupakan antara perkara-perkara nikmat yang jarang sekali kita hargai.


InsyaAllah, pihak Fikruttaqwa juga akan sentiasa berusaha membaiki kelemahan kami pada tahun lalu, antaranya kekerapan penerbitan pos yang agak rendah dan isi yang tidak tersusun. Sidang Editor Fikruttaqwa pada tahun ini telah dibentuk dan insya-Allah, kami akan memikirkan jalan-jalan untuk memantapkan blog ini sebagai media dakwah serta sebagai media berita SMIK. Segala cadangan dan komen adalah amat dialu-alukan dan boleh dicatat di ruangan komen pos ini atau di chatbox dan boleh juga dihantar melalui e-mail.

...
Baca selanjutnya...