oleh: Ahmad Hashimi Roslan
Di dalam dunia pada zaman moden kini, seribu satu maklumat berada di hujung jari. Pendapat, pandangan dan ideologi mengalir deras dalam arus teknologi maklumat sekarang, tak kira baik atau buruk. Semua ini membawa kepada satu kesan: penyatuan cara hidup tanpa mengira bangsa dan sempadan; dan cara hidup yang baru ini melunturkan semua identiti bangsa dan digantikan dengan cara hidup yang baru. Cara hidup yang baru ini juga merupakan lambang pemodenan dan sumber atau rujukan cara hidup ini terutamanya dari Barat atau Eropah.
Tidak dapat dipastikan jika ini merupakan satu perancangan atau tidak, tetapi yang pastinya, cara hidup ini membawa banyak kesan buruk kepada satu bangsa bukan bangsa Melayu, tetapi bangsa Islam. Seperti yang telah dinyatakan, setiap bangsa mempunyai identitinya masing-masing sebelum kedatangan cara hidup yang diagung-agungkan sekarang ini; dan identiti bangsa Islam merupakan satu cara hidup yang paling sempurna, lengkap, dan cantik sama ada sebelum ataupun selepas kemunculan cara hidup yang baru ini. Sebabnya hanya satu: ia bukan datang dari buah fikiran manusia tetapi dari Pencipta buah fikiran manusia, malah Pencipta kepada manusia itu sendiri. Apakah kesan cara hidup baru yang lain daripada Islam ini? Kepada yang masih tidak sedar, lihatlah di depan mata kalian sendiri, atau mungkin ke dalam diri kalian sendiri. Hendak tahu bagaimana cara hidup Islam beroperasi sepenuhnya dan ingin membuat perbandingan dengan cara hidup sekarang? Belajarlah sejarah bangsa Islam. Ataupun mungkin kalian boleh cuba hidup dalam saki-baki jamaah yang berpegang kepada cara hidup Islam dan cuba untuk mewujudkannya semula.
Cara hidup Islam, identiti bangsa Islam. Seperti yang telah dinyatakan, cara hidup yang mulia ini hampir-hampir hilang pada zaman sekarang. Mengapa hampir hilang? Cara hidup Islam kini biasanya hanya terdapat dalam kertas-kertas yang menceritakan tentangnya. Tetapi di manakah penggerak-penggeraknya, pengamal-pengamalnya?! Terlalu dagang orang-orang yang mengamalkannya sekarang. Ketahuilah hai ahli-ahli kepada bangsa Islam: sesungguhnya Pengasas kepada cara hidup ini yakni Rabb kita Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 138:
Sibghah Allah (acuan Allah); siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? Dan kepada-Nya kami menyembah.
Sekarang ini terlampau sedikit yang diacu dengan dengan acuan Allah, kerana mereka secara sedar atau tidak telah memilih acuan-acuan Barat. Kita perlu sedar bahawa acuan Islam yang dicipta khas oleh Allah SWT ialah yang terbaik, kerana kita merupakan pewaris dakwah Rasulullah SAW.
Akhir kata, wahai kalian yang menerima tarbiyah, rasailah betapa beruntungnya kita yang masih berada dalam lubuk tarbiyah ini. Manfaatkanlah, kerana pada suatu hari, pembawa imej dan identiti Islam ialah orang-orang yang lahir dari lubuk tarbiyah ini sebagai penjuru-penjuru Islam, bucu-bucu Islam. Sebagai manusia yang lemah, secara fitrahnya dan secara aqidahnya kita tidak boleh memilih dua cara hidup yang berbeza untuk hidup kita. Oleh itu nilailah dua cara hidup ini dan pilihlah dengan kebijaksanaan kalian. Ketahuilah bahawa cara hidup yang Barat keluarkan dan pasarkan memang merupakan perancangan mereka. Maka sekarang ini kita sedang berhadapan dengan satu organisasi atau kesatuan yang cukup kuat.
Sahabat-sahabat sekalian, jalan yang kita pilih ini tidak akan menjanjikan apa-apa di dunia ini kecuali luka, peluru dan tali gantung yang boleh melemahkan sesiapa sahaja tetapi bukan kalian, kerana kalian dibentuk dalam suasana tarbiyah, dan dihiaskan dengan keindahan akhlak. Diri ini tidak dapat menjanjikan apa-apa kebahagiaan untuk kalian di dunia ini, tetapi diri ini menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada itu iaitu doa, supaya kita sama-sama teguh melalui jalan dakwah yang mulia ini.
Wallahua'lam.
Baca selanjutnya...